Polis menafikan bahawa pegawai penyiasat Inspektor S.Hare Krishnan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyebabkan kematian tahanan, N.Dharmendran dalam lokap pada Selasa tidak mengetahui bahawa dirinya dikehendaki untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Hare Krishnan adalah seorang anggota polis dan selepas kejadian tersebut, beliau seharusnya kembali bertugas namun Hare Krishnan bertindak menghilangkan diri dan gagal melapor diri untuk bertugas.

“Beliau telah pun menyerah dan dihadapkan ke mahkamah untuk direman jadi kita akan siasatannya nanti. Jika benar beliau tidak melakukan kesalahan itu, kebenaran akan muncul jua,” kata Khalid.

Menurut Khalid, pada mulanya pihaknya telah meminta Hare Krishnan untuk tampil ke hadapan membantu siasatan dan apabila beliau gagal berbuat demikian, maka gambar identitinya terpaksa diedarkan kepada media.

“Apabila beliau (Hare Krishnan) gagal tampil ke hadapan, kita terpaksa mengedarkan gambarnya kepada media dengan mengharapkan bantuan orang ramai dapat menemuinya dan nampaknya barulah beliau tampil,” kata Khalid.

Inspektor S. Hare Krishnan dihadapkan ke mahkamah Majistret pada Selasa atas tuduhan menyebabkan kematian tahanan dalam lokap, N. Dhamendran.

Hare Krishnan, 40, yang menyerahkan diri di Bukit Aman pada Isnin, dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.