GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menerima 149 laporan berhubung penipuan tawaran kerja di platform e-dagang terkenal hingga membabitkan kerugian lebih RM1.2 juta sejak Januari hingga dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang Mohd Rosni Mohd Lazim berkata daripada jumlah itu, polis membuka sebanyak 107 kertas siasatan dengan 66 mangsa adalah wanita manakala 41 lagi membabitkan lelaki yang kesemuanya berusia 24 hingga 54 tahun.

"Modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook dengan individu yang berminat akan menekan pautan diberikan menggunakan logo platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Zalora dan lain-lain lagi.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja kemudiannya diarahkan oleh sindiket untuk membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisen lapan hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang ke akaun bank dikawal sindiket dengan dijanjikan menerima semula wang mereka berserta komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat.

Mohd Rosni berkata, pada peringkat permulaan mangsa menerima wang dan komisen mereka namun selepas membuat pembelian dalam jumlah dan nilai yang tinggi mangsa sudah tidak menerimanya malah disekat untuk menghubungi sindiket tersebut.

Menurut beliau, pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform berkenaan dan sindiket menggunakan keldai akaun bagi urusniaga perbankan berkenaan.

"Kes tawaran kerja itu adalah antara taktik terbaru sindiket penipuan kerana mereka tahu ramai yang terdesak dan memerlukan kerja serta gaji untuk meneruskan kehidupan ketika pandemik COVID-19 sekarang ini, kemuncaknya sejak tiga bulan lepas kami menerima hingga 10 laporan polis kes seperti ini setiap hari.

"Siasatan polis mendapati kebanyakan yang menjadi mangsa ialah pelajar universiti dan institut pengajian tinggi iaitu sebanyak 35 kes membabitkan mereka, kebanyakan mereka percaya dengan tawaran kerja itu kerana kononnya membabitkan platform e-dagang terkenal," katanya semua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan polis juga telah menahan sejumlah individu yang menjadi keldai akaun kepada geng tersebut.

Sementara itu, Mohd Rosni berkata sejak Januari hingga dua hari lepas, pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes melibatkan jenayah siber di Pulau Pinang hingga mencecah kerugian RM54.17 juta berbanding RM29.94 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 1,767 kes membabitkan jenayah siber dicatatkan berbanding 1,252 kes pada tahun lepas.

"Bagi kes melibatkan penipuan Macau Scam sebanyak 519 kes dilaporkan dengan kerugian RM9.1 juta, e-dagang pula sebanyak 586 kes (kerugian RM3.9 juta), parcel atau love scam (283 kerugian RM3.5 juta), pelaburan tidak wujud (283 kes kerugian RM3.09 juta), pelaburan (284 kes kerugian RM34.3 juta)," katanya.

Beliau berkata pihak polis juga mendapati penipuan melibatkan kes pelaburan meningkat secara drastik iaitu hingga 277.9 peratus, kes e-dagang juga meningkat sehingga 68.3 peratus, parcel atau love scam (45.5 peratus) namun kes Macau Scam pula menurun 28.3 peratus dan pelaburan tidak wujud juga menurun pada 3.9 peratus.

Katanya, majoriti kes jenayah siber meningkat kerana orang ramai cenderung menggunakan platform secara dalam talian untuk urusan masing-masing ketika pandemik COVID-19 dan diminta lebih berhati-hati agar tidak mudah terpedaya.

-- BERNAMA