Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok kontraban dan minuman keras bernilai RM685,392 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Indahpura, Kulai, semalam.

Komisioner PPM Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata serbuan sekitar 3.45 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan tugas Op Landai Khas.

Menurutnya, serbuan di rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni itu dilakukan susulan daripada tangkapan dan rampasan yang dibuat pada November lepas di lokasi yang sama.

"Kita merampas sebanyak 46,500 paket rokok putih pelbagai jenama dan 2,639 kotak yang mempunyai 15,576 tin minuman keras pelbagai jenama di dalamnya.

"Kesemua rampasan ditemui di dalam bilik, ruang tamu dan dapur tingkat bawah rumah berkenaan dan kita syaki ia diseludup dari negara jiran," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Khiu berkata bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dan beliau juga tidak menolak kemungkinan kesemua rampasan itu diseludup untuk dijual di pasaran tempatan memandangkan sambutan perayaan krismas semakin dekat.

"Modus operandi kegiatan penyeludupan ini ialah dengan menjadikan kawasan perumahan yang mempunyai 'guard house' sebagai stor penyimpanan rokok dan minuman tidak sah untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan dari Jabatan Kastam.

Tambahnya, rampasan itu merupakan rampasan kali ke-19 pada tahun ini dengan keseluruhan nilai rampasan RM8 juta (bagi rokok) dan rampasan minuman keras kira-kira RM200,000.

-- BERNAMA