IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM58 juta membabitkan 4,991 kertas siasatan sepanjang tempoh 33 tahun.

Ia melibatkan 10 jenis dadah seberat 1,561.4 kilogram, daun ketum 2,773.7 kilogram dan 1.7 juta liter cecair ketum serta ubat batuk.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mazlan Santarai berkata, kerja-kerja pelupusan itu akan dijalankan sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Kesemua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan, serta telah pun selesai kes perbicaraan mahkamah.

"Jumlah keseluruhan bagi pelupusan yang dilakukan ini dianggarkan bernilai RM58,084,974.55, membabitkan sebanyak 4,991 kertas siasatan sejak tahun 1988, bagi kes yang telah selesai perbicaraan.

"Ia melibatkan 15 daerah iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah," katanya.

Mazlan bercakap pada sidang media di Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Antara dadah yang dilupuskan adalah ganja seberat 699kg, heroin (413kg), syabu (34kg), ketamin (1.2kg), estacy (21.86 gram) dan 57 gram eramin 5.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, seramai 1,752 individu telah diambil tindakan sepanjang tempoh Januari hingga September lalu bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah.

Bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan permintaan memiliki dadah pula, ia melibatkan seramai 3,721 orang.

Sementara itu, 1,598 orang telah diambil tindakan sepanjang tempoh sama tahun ini, bagi pembanterasan ke arah pengurangan urin positif.

Pada masa sama, sebanyak 3,777 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,543 kertas siasatan telah dituduh, iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus.