IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan kes kecurian elektrik terbesar di negeri itu tahun ini yang melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta.

Kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dibantu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas sebuah premis perniagaan sejuk beku di Hutan Melintang pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, premis itu disyaki telah menggunakan elektrik secara haram melalui pengubahsuaian di bilik pencawang TNB sejak 2016.

"Mengikut kebiasaan, kalau dia tidak menggunakan kepandaian untuk mencuri elektrik, kilang ini, sepatutnya akan bayar dalam RM90,000 sebulan untuk bil elektrik.

"Tapi apabila dia dah modified (ubah suai) menggunakan wiring (pendawaian) dan sebagainya, dia hanya membayar RM15,000 sahaja," katanya pada sidang media di IPK Perak di Ipoh, pada Selasa.

Menurutnya, kilang tersebut pernah dikompaun sebanyak lima kali dengan setiap kompaun bernilai RM20,000.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis turut menahan seorang lelaki tempatan serta 57 warga asing yang terdiri daripada 45 warga Myanmar, lapan warga Indonesia, tiga warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh.

Warga tempatan direman empat hari manakala kesemua warga asing direman 14 hari sehingga 10 Oktober ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.