Polis tidak menolak kemungkinan individu yang dipercayai ejen besar sindiket pemerdangan manusia di sempadan negara yang dikenali sebagai ‘Yassin’, ada hubungkaitnya dengan penduduk tempatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan buat masa ini pihaknya sedang memperhebat gerakan memburu individu berkenaan.

“Kita masih mengesan Yassin dan siasatan giat dijalankan. Polis percaya individu ini ada kaitan dengan warga tempatan,” katanya.

Khalid ditemui selepas majlis penyerahan bendera Sang Saka Biru kepada kontinjen PDRM yang menyertai kejohanan 'Police and Fire Games 2015' di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, Khamis.

Khalid sebelum ini tidak menafikan bahawa pihaknya sudah mengenalpasti Yassin.

BACA: Saya tahu siapa Yassin - Ketua Polis Negara

Yassin dikenalpasti sebagai agen sindiket penyeludupan manusia yang menjadi dalang dalam kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Polis Kedah kini sedang giat mengumpul maklumat bagi mengesan identiti individu tersebut yang dikatakan terlibat secara langsung 'membeli' mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia itu.