MALAYSIA

Polis Perlis tingkat kawalan di sempadan, kekang jenayah penyeludupan migran

Bernama 13/11/2025 | 12:15 MYT
Ketua Polis negeri Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kegiatan itu banyak berlaku di laluan darat berbanding laut susulan geografi Perlis yang kecil selain jaringan jalan raya yang memudahkan pergerakan keluar masuk. - Foto BERNAMA
KANGAR: Polis Perlis terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi mengekang jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.


Ringkasan AI
  • Polis Perlis meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara untuk meredakan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, terutamanya di laluan darat yang kerap digunakan.
  • Kerjasama di antara PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan Jabatan Imigresen telah membantu meningkatkan kawalan sempadan darat dan laut di Perlis, dengan 22 kawasan panas dan laluan tikus diidentifikasi sebagai titik penyeludupan migran.
  • Sindiket penyeludupan menggunakan strategi canggih termasuk penggunaan dron untuk mengawasi dan membantu penghantaran migran, namun pemasangan CCTV di sempadan serta kajian taktik sindiket membantu dalam usaha pencegahan.


Ketua Polis negeri Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kegiatan itu banyak berlaku di laluan darat berbanding laut susulan geografi Perlis yang kecil selain jaringan jalan raya yang memudahkan pergerakan keluar masuk.

"Walaupun aktiviti penyeludupan masih berlaku, tahapnya kini lebih terkawal hasil kawalan bersepadu antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) serta agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

"Kami sentiasa memastikan tahap keselamatan sempadan darat dan laut di negeri ini berada pada tahap terbaik," katanya pada sidang media selepas sesi perbincangan awam mengenai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) di Kompleks Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Muhammad berkata 22 kawasan panas dan laluan tikus dikenal pasti dalam kegiatan penyeludupan migran di Perlis.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai kini menggunakan modus operandi lebih terancang antaranya menggunakan kenderaan pemerhati dan dron bagi mengaburi operasi penguatkuasaan.

"Dron digunakan bagi memantau kawasan bermula dari sempadan sehingga proses penyerahan migran kepada 'transporter' yang kemudian membawa mereka ke destinasi yang ditetapkan.

"Namun, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berpagar sempadan membantu usaha penguatkuasaan selain kajian berterusan terhadap taktik baharu sindiket," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata bagi tempoh 2024 hingga Oktober 2025, sebanyak 33 kes di bawah ATIPSOM direkodkan di Perlis termasuk 22 kes pada tahun lepas.

-- BERNAMA



#Polis Perlis #kawalan keselamatan #sempadan #jenayah pemerdagangan manusia