Polis dilihat perlu sentiasa peka terhadap persepsi orang ramai dan tidak teragak-agak untuk melakukan segala yang boleh dan di dalam bidang kuasanya untuk memperbaiki persepsi dan memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap mereka.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Je­nayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masih banyak yang perlu dilakukan polis untuk menangani kebimbangan orang ramai daripada menjadi mangsa jenayah dan juga meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang.

"Pada masa-masa hadapan, kepolisan berorientasikan masyarakat mesti diberi penekanan dan dijadikan agenda utama oleh PDRM.

"Yang perlu ditegaskan ialah sesi 'turun padang' yang sepatutnya menjadi amalan biasa oleh Ketua Polis Negara dan turut diikuti oleh Ketua-Ketua Polis Negeri dan Daerah.

"Tugas-tugas rondaan anggota polis termasuklah sesi 'berhenti dan bercakap' adalah pendekatan yang sangat efektif untuk mendampingi masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2014 Program Transformasi Kerajaan, Indeks Persepsi Keselamatan adalah pada kadar 38.6 peratus lebih rendah daripada sasaran 52 peratus manakala Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah telah mencapai pengurangan sebanyak 12.6 peratus bagi jenayah yang dilaporkan secara menyeluruh melebihi sasaran asal sebanyak lima peratus setiap tahun.

Jelas Lam Thye, statistik penurunan jenayah adalah petunjuk kejayaan manakala usaha memerangi jenayah mestilah melangkaui perangkaan dan kejayaan yang dicapai.

"Kita iktiraf kejayaan polis untuk mengurangkan kadar jenayah keseluruhan di dalam pelaksanaan pendekatan transformasi untuk menangani jenayah dan keselamatan di negara ini. Ia juga mencerminkan pendekatan yang serius ke arah membanteras jenayah.

"Di sebalik kejayaan ini pihak polis perlu meneruskan agenda memerangi jenayah dan berusaha lebih gigih untuk setanding dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain yang terbaik selari dengan kepolisan bertaraf dunia.

"Kita juga perlu menangani isu-isu kritikal yang lain seperti meningkatkan tahap kerjasama dan hubungan antara pihak polis dan masyarakat, NGO dan sektor swasta, menangani isu-isu ketakaturan sosial yang mendorong perlakuan jenayah. Bekas pesalah juga perlu diberi peluang pekerjaan untuk mengurangkan jenayah berulang," ujarnya.

Katanya lagi, tidak dinafikan bahawa orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap pasukan polis bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Pihak polis perlu menyahut cabaran ini dan bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai dan masyarakat secara professional dan berintegriti tinggi.

"Kejadian jenayah merupakan satu peringatan bahawa kita perlu menjaga keselamatan masing-masing serta tidak memandang ringan berkaitan keselamatan.

"Jenayah masih menjadi kebimbangan utama di kalangan rakyat Malaysia dan ini tidaklah menghairankan kerana hakikatnya mereka boleh pada bila-bila masa menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara dan kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah. Setiap hari membaca berita tentang jenayah di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi negatif terhadap pihak berkuasa," jelasnya.

Dalam pada itu kata Lam Thye, masyarakat juga tidak harus melihat perkembangan negatif ini dari sudut pencegahan jenayah sebaliknya dilihat secara positif.

"Hakikat bahawa jenayah merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

"Ia juga menunjukkan bahawa rakyat mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah serta tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.

"Kita mengalu-alukan perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan ini dapat diterjemahkan melalui lebih banyak penyertaan orang ramai di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah," katanya.

Oleh itu jelasnya, rakyat harus tampil ke hadapan untuk turut serta di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah samada atas inisiatif persatuan penduduk mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana NGO yang ada.

"Ia penting bagi meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh dan patut dilakukan untuk mencegah jenayah," ujarnya.