GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki bersama syabu serta heroin bernilai kira-kira RM42,550 dan menyita dua kereta mewah bernilai RM180,000 dalam dua serbuan di Bukit Tengah, dekat sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu sebuah premis perniagaan dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang berada di atas sebuah motosikal pada pukul 5.25 petang.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas tujuh peket plastik berisi syabu seberat 520 gram(g) bernilai RM20,500 dan hasil soal siasat ke atas lelaki itu, kami menyerbu kawasan parkir sebuah apartmen yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi serbuan pertama.

"Polis merampas empat paket heroin seberat 1,820g yang bernilai RM20,050 dalam sebuah kereta dipercayai milik lelaki itu dan berdasarkan siasatan, suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan juga mendapati penganggur itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara sendirian dengan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkus semula dan mengedar kepada pembelinya.

Khaw berkata ekoran penahanan lelaki itu, polis menyita tiga kenderaan bernilai RM198,000 termasuk dua kereta mewah bernilai RM180,000.

Katanya lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman sehingga 20 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Khaw berkata polis menahan 37 individu kerana positif dadah dalam operasi khas di sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam, dekat sini bermula 12.30 tengah malam hingga 5 pagi semalam.

Beliau berkata kesemua mereka, 21 lelaki dan 16 wanita yang berumur 20 hingga 40an direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA