KUALA TERENGGANU: Polis merampas 563 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM23,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Desa Pusu Tiga, Gong Badak, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata serbuan pada 3.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga peniaga kedai runcit.

"Lelaki itu dipercayai membeli rokok seludup daripada pembekal sebelum menjualnya di kedai runcit di premis berasingan.

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sindiket pengedaran rokok berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rukman berkata lelaki itu yang memiliki dua rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah narkotik direman 12 hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 135 (d) (1) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA