SUNGAI PETANI: Polis merampas 62 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta di sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda, Selasa lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata rampasan itu hasil risikan dan serbuan yang dijalankan pada 6.30 petang, selepas pihaknya membuat tangkapan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun.
Advertisement
"Suspek ditahan di tepi jalan di kampung itu dan kita rampas 150 gram dadah jenis syabu serta kunci inap desa. Suspek kemudian dibawa ke sebuah inap desa berdekatan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 62 kg dadah jenis syabu, yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta yang disorokkan di bawah katil dalam sebuah bilik di situ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.
Beliau berkata semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod, malah ujian saringan air kencing juga negatif.
"Suspek dipercayai berada di negara ini sejak dua hingga tiga tahun lepas, dan melakukan kerja-kerja kampung, bagaimanapun kita masih siasat dokumen kemasukannya ke negara ini.
"Sewaktu pemeriksaan di inap desa, tiada individu lain dan suspek dipercayai menjadi penjaga stor dengan bayaran kira-kira RM116 bagi setiap kg dadah," katanya.
Susulan tangkapan suspek pertama, sepasang suami isteri masing-masing warga tempatan berusia 42 dan 32 tahun, yang menyewa rumah inap desa berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Kedua-duanya ditahan di Penaga, Pulau Pinang pada 11 malam, Rabu lepas. Namun, kedua-dua suspek tiada rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif," katanya.
Beliau berkata serbuan kali ini mendedahkan satu modus operandi baharu, iaitu suspek hanya menggunakan sejumlah kecil dadah untuk dipasarkan ke pasaran tempatan bagi menampung kos operasi.
Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan hingga 314,000 orang, dan sebahagian besar dadah dipercayai untuk dihantar ke negara kedua, iaitu Indonesia melalui jalan laut.
“Bekalan dipercayai diperoleh dari Lembah Klang, disimpan dua hari sebelum dibawa keluar. Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga bulan lepas, dan pasangan suami isteri itu dikatakan menerima upah kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 untuk menyewakan inap desa berkenaan.
"Tindakan sindiket ini menggunakan khidmat warga tempatan untuk menyewa inap desa itu dipercayai bagi mengelakkan rasa curiga pemilik dan penduduk setempat,” katanya.
Siasatan mendapati ini kali ketiga mereka menyewa inap desa termasuklah dua kali di kawasan Penaga, Pulau Pinang, sebelum ini.
Beliau berkata pihaknya percaya masih ada saki-baki sindiket dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA