Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan memproses dadah di dua makmal berbeza di Johor semalam.

Hasil serbuan, tiga suspek warganegara India termasuk seorang warga tempatan berjaya ditahan serta merampas dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM550,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, antara lokasi yang diserbu adalah sebuah kontena yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah.

“Pada 8 Oktober polis melancarkan dua serbuan di Ayer Hitam dan Yong Peng. Dua daripada yang ditahan adalah wargenegara India, seorang lagi dipercayai ahli kimia dan dadah bernilai RM550,000 dirampas.

“Polis juga merampas peralatan memproses dadah serta menyita dua buah kenderaan dan pelbagai barangan kemas. Siasatan menunjukkan bahawa dadah yang dirampas ini untuk kegunaan tempatan dan juga kemungkinan dihantar ke Singapura, dan Indonesia,” katanya dalam satu sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada 12 kilogram dadah yang dirampas itu, 5.2 kilogram adalah jenis kristal, manakala 6.8 kilogram lagi dalam bentuk cecair dan kesemua rampasan itu dipercayai boleh diedar kepada lebih 60 ribu penagih.

Hasil ujian saringan awal air kencing, dua lelaki warganegara India itu didapati negatif dadah manakala seorang lelaki tempatan didapati positif ganja, selain mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek yang berusia 32 tahun hingga 49 tahun itu kini ditahan reman sehingga 14 Oktober untuk siastaan lanjut mengikut seksyen 39B Akta dadah berbahaya 1952.