KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya melumpuhkan satu kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dengan menembak mati lima individu di kawasan rumah setinggan berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang yang terbunuh adalah antara pemimpin (sub-leader) kumpulan Abu Sayyaf dan dinamakan dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina.

Jelasnya, hasil operasi gabungan PDRM dan Esscom itu berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish.

Kata Hazani, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.

"Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, semua penjenayah itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi Ops Khas.

"Seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis. Pada masa sama, beberapa lagi suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan," katanya pada sidang media di IPK Sabah hari ini.

Hazani menerangkan mengenai Ops Khas pada sidang media di IPK Sabah.

Jelas Hazani, dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan ancaman, pasukan polis terpaksa membalas tembakan terhadap ancaman.

Sementara itu, Hazani berkata, identiti semua suspek yang ditembak mati dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Katanya, berdasarkan kepada maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG).

Antara senjata yang ditemui dan dirampas pihak polis dalam serbuan itu.

"Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua kelongsong peluru, 20 peluru hidup .45, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang.

"Dalam insiden ini, semua anggota dan pegawai polis terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, Hazani mengingatkan kepada pasukan keselamatan negara termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaab Maritim Malaysia (APMM) supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas susulan kejayaan IPK Sabah kali ini.