KUCHING: Polis Sarawak merampas minuman keras dan rokok pelbagai jenis yang bernilai hampir RM100 juta dalam Op Taring Alpha yang dijalankan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dalam operasi yang menyasarkan aktiviti penyeludupan itu, lapan lelaki berusia 22 hingga 67 tahun telah ditahan di tiga premis di Jalan Setia Raja, Jalan Padungan dan Jalan Penrissen Batu 7 Padawan.

"Sebanyak 2,854 kotak rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang kebanyakan telah tamat tempoh dirampas dengan nilai keseluruhan sebanyak RM98,717,342.11 termasuk cukai.

"Kesemua suspek telah direman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Mancha berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan sehingga lima tahun dan boleh didenda sebanyak RM100,000.

-- BERNAMA