KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas 52.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.89 juta dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Batu Kawa, di sini pada18 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata susulan rampasan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun.

Azman dalam kenyataannya berkata pihaknya turut sebuah kereta di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Hasil siasatan awal suspek katanya merupakan seorang penganggur, didapati tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah.

“Modus operandi saspek dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah syabu sejak april tahun 2023.

“Dadah dikirim melalui perkhidmatan kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung Malaysia dan suspek akan menghantar dadah ke lokasi yang diarahkan melalui telefon,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Azman, suspek dipercayai mengedar dadah untuk pasaran sekitar daerah Kuching dan daerah-daerah berdekatan.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga 25 Mei depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.