Polis Selangor akan mengadakan operasi besar-besaran berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 8 malam, pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima aduan terdapat segelintir orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah yang dikeluarkan kerajaan.

"Operasi bermula malam ini akan memastikan orang ramai tidak berada di luar rumah tanpa alasan munasabah, polis akan berikan pemahaman dan nasihat kepada mereka.

"Operasi ini akan melibatkan seluruh negeri yang mana mempunyai 16 daerah secara keseluruhan," katanya dalam kepada pemberita, pada Rabu.

Ada yang masih duduk berkumpul bersama rakan-rakan di tempat awam. - IPK Selangor

Mengulas lanjut Fadzil berkata Ketua Polis Daerah akan mengadakan sekatan jalan raya di setiap kawasan mereka bagi memantau aktiviti orang awam dan menasihatkan mereka pulang.

"Polis masih akan menggunakan kaedah menasihati dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menangkap serta membuka kertas siasatan kepada mereka yang masih berdegil.

"Kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sekarang," jelasnya.

Operasi tersebut hanya akan berakhir selepas pihak polis berpuas hati sekiranya rakyat telah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, ujarnya.