Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau secara dekat kegiatan Al-Arqam bagi memastikan kumpulan yang diharamkan sejak 1994 itu tidak menjejaskan keselamatan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata PDRM juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi yang bertanggungjawab dalam menangani kumpulan yang membawa ajaran sesat.

"Kegiatan Al-Arqam memang kami pantau secara dekat, semua aktiviti kumpulan ini dari sudut keselamatan negara, dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi yang bertanggungjawab," katanya kepada Bernama menerusi khidmat SMS hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Al-Arqam yang dipercayai masih beroperasi termasuk mengadakan parlimen roh kumpulan itu dua kali sebulan sebagai usaha mengekalkan kesetiaan pengikut ajaran berkenaan.

Parlimen roh Al-Arqam itu dilapor diadakan di Jitra, Kedah dari 2 hingga 4 Jun lepas dan dihadiri balu Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam bagi menjelaskan penahanan pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Pada 13 Mei lepas, Hatijah ditahan bersama-sama sembilan pengikutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari Arab Saudi dan akan didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) November ini kerana cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam.

Hatijah yang juga dikenali sebagai Ummu Jah boleh didakwa mengikut Seksyen 12(C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina pihak berkuasa agama.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri sentiasa mengumpul maklumat mengenai kegiatan Al-Arqam.

"Kerjasama juga diadakan dengan agensi penguatkuasa seperti PDRM bagi memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat ini. Bagaimanapun kami tidak boleh mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara ajaran sesat Al-Arqam yang dikenal pasti Jakim ialah kumpulan itu melalui GISB membuka cawangan perniagaan kedai makan dan runcit di luar negara termasuk di Arab Saudi bertujuan mempengaruhi anggotanya bahawa gerakan itu masih aktif walaupun telah diharamkan pada 1994.

"Bagaimanapun perniagaan mereka tidak mendapat keuntungan besar. Selain itu, mereka juga membuat persembahan konsert dan pantomen yang tersirat di dalamnya cita-cita dan fahaman kumpulan itu," katanya.

Othman berkata untuk menyakinkan anggotanya tentang kebenaran ajaran kumpulan ini, Hatijah dikatakan membuka beberapa premis di Makkah dan Madinah.

"Ia kononnya sebagai bukti kemenangan hampir di pihak mereka dalam membina sebuah empayar daulah di akhir zaman seperti yang dijanjikan Allahyarham Asaari Muhammad menerusi 'Jadual Allah'.

"Mengikut kepercayaan ahli GISB, 'futuh' (pembukaan) Malaysia dan Makkah kedua oleh Imam Mahadi akan dibantu oleh pemuda Bani Tamim," katanya.

Othman berkata antara premis dan aset GISB di Arab Saudi ialah Istana RSA, kedai pakaian dan kek, chalet, kebun kurma, kenderaan dan binatang ternakan.

Kumpulan itu juga mengedarkan brosur di hotel-hotel penginapan jemaah haji Malaysia dan Makkah bagi mempromosikan chalet, kebun kurma dan katering masakan Malaysia serta bertemu jemaah lain di sekitar Masjidil Haram.