SUNGAI PETANI: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima lelaki di daerah Kuala Muda, Isnin lalu, melibatkan rampasan dadah bernilai RM58,496.

Ia susulan operasi yang dijalankan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan, serbuan dilakukan di sebuah pondok di dalam kandang lembu di Kampung Sungai Division, di sini, pada jam 11 malam.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 22 hingga 36 tahun.

“Pemeriksaan di dalam pondok itu menjumpai dadah jenis heroin dengan anggaran berat 660.5
gram (g) dan syabu seberat 1,007.5g.

"Turut dirampas, peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Zaidy berkata, tidak lama selepas itu, pasukan sama menahan dua lelaki tempatan di hadapan kandang lembu tidak jauh dari lokasi pertama pada jam 12.15 tengah malam.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 35 dan 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan dadah.

Dalam serbuan itu polis turut merampas lima buah motosikal dan wang tunai RM1,700 dipercayai hasil jualan dadah.

Keseluruhan rampasan bernilai RM87,569.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.