IPOH: Polis mengesan aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis turut menahan 31 individu, termasuk 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Menurutnya, kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu, Op Khazanah pihak polis bersama Jabatan Perhutanan di kawasan berkenaan telah menjumpai kawasan yang dipercayai berlaku aktiviti perlombongan NR-REE secara haram.

“Hasil serbuan yang dijalankan di lokasi, pihak polis berjaya melakukan tangkapan 28 individu, iaitu sembilan warga tempatan dan 19 warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada itu, polis turut menahan tiga orang lagi, iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing di dua lokasi berasingan di sekitar daerah Gerik.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 10 adalah lelaki tempatan, 21 warga asing, termasuk dua wanita, kesemuanya berumur antara 23 hingga 69 tahun. 

Tambahnya, daripada bilangan warga asing yang ditahan, 16 orang adalah lelaki warga China, tiga lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita Myanmar dan Vietnam.

“Semakan yang dilakukan juga mendapati kesemua warganegara asing tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Yusri berkata, siasatan turut dijalankan Jabatan Perhutanan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menurutnya, kesemua tahanan warga tempatan direman selama tiga hari manakala warga asing direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51 (5)(B) Akta Imigresen 1959/ 63.

“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dan maklumat yang diberikan orang ramai kepada pihak berkuasa, khasnya pihak polis dalam memastikan keamanan negara kekal terpelihara,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.