Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM25,000 dalam serbuan di Bagan Selatan, Tanjong Piandang di sini, pada Jumaat.

Dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada jam 11 malam.

Kedua-dua suspek ditahan selepas berlaku pergelutan antara mereka dan polis semasa cubaan untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sindiket ini menjadikan garaj kereta sebagai makmal pemprosesan dadah.

Hasil pemeriksaan juga menemui satu paket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine dalam beg silang salah seorang suspek.

"Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil suspek turut menemui sepucuk pistol P-01 Cal.9 Luger bersama satu kelopak kosong dan 35 butir peluru hidup di dalam beg kertas yang diletakkan tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut.

"Kami percaya pistol tersebut digunakan suspek bagi mempertahankan diri daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu kegiatan jenayah mereka," katanya dalam media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, di sini, pada pagi Isnin.

Menurut Omar Bakhtiar, polis turut menemui tiga botol plastik dan kaca yang mengandungi bahan kimia serta empat balang kaca mengandungi asid yang akan digunakan suspek bagi memproses dadah.

"Kesemua dadah yang dirampas berjumlah 884.7 gram heroin, 10.9 gram methamphetamine dan 9.6 gram pil eramin 5 yang keselurahannya bernilai RM25,000 dan boleh diedar kepada 1,000 penagih di sekitar daerah ini.

"Hasil soal siasat mendapati sindiket tersebut telah aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak enam bulan lalu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan baki ahli sindiket itu," katanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 Februari hingga 2 Mac depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Aman Sejahtera di sini pada Selasa lalu, seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan empat kegiatan samun di sekitar Bagan Serai sejak tahun lalu.

"Suspek kini ditahan reman bermula 21 Februari lalu sehingga esok (hari ini), bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya.