Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyusun strategi penugasan lebih berkesan dan menyeluruh dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata jentera polis telah siap siaga dari segi fizikal, emosi dan rohani yang tertinggi bagi menghadapi apa jua cabaran sepanjang proses PRU14.

"Setiap petugas PDRM telah diingatkan agar sentiasa berhemah dan profesional dalam menjalankan tugas, demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalar kredibiliti pasukan dan imej kerajaan.

"Kami juga berpegang teguh kepada amanat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu PRU14 menjadi pilihan raya paling selamat dalam sejarah demokrasi negara," katanya ketika berucap di majlis perasmian Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk di sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menyempurnakan perasmian program tersebut.

Mohamad Fuzi berkata pengundi tidak perlu merasa khuatir untuk keluar mengundi kerana PDRM akan memastikan keselamatan dan keselesaan sepanjang mereka menjalankan tanggungjawab menentukan masa depan negara.

"Jangan mudah terpedaya dengan khabar angin atau berita palsu yang boleh mendatangkan kesangsian atau kegusaran dalam kalangan pengundi sebaliknya sentiasa patuh serta akur pada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Amalkan sikap hormat-menghormati dan janganlah melakukan sebarang provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam, agar proses pilihan raya dapat berjalan dalam keadaan aman dan tenteram," katanya.

Beliau berkata PDRM menghargai segala kerjasama yang diberikan masyarakat kepada polis selama ini.

"Polis adalah masyarakat dan masyarakat adalah polis, hubungan simbiosis atau kebergantungan antara polis dan masyarakat merupakan elemen terpenting dalam usaha kita memerangi jenayah," katanya.

Mohamad Fuzi berkata PDRM sentiasa mengalu-alukan penglibatan serta komunikasi berterusan antara masyarakat dengan pihak polis terutama dalam aspek perkongsian maklumat berkaitan jenayah.

Bagan Datuk merupakan destinasi pertama penganjuran Program NBOS: 1AMANWEEK di Perak.

Program yang mula diadakan pada 2015 itu telah menjelajah beberapa negeri termasuk Sarawak, Kelantan dan Negeri Sembilan serta Putrajaya dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA