KUALA LUMPUR: Polis telah menerima laporan berkaitan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipukul oleh guru di sebuah tadika di Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun pada jam 4.56 petang Isnin.

"Wanita itu menyatakan semasa berada dirumahnya telah melihat satu video, dimana anak lelakinya telah dipukul oleh guru tadikanya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, video itu memaparkan kanak-kanak berkenaan menangis selepas dipukul seorang wanita dengan kasar dan dipaksa makan sesuatu.

"Pengadu berkenaan mengesahkan bahawa kanak-kanak di dalam video tersebut adalah anak lelakinya," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan polis mengesahkan terdapat dua video tular di media sosial berkaitan kejadian itu.

"Kita mendapati kejadian tersebut berlaku pada Mei lalu, siasatan dijalankan di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul 03-40482222," katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang wanita didakwa melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah tadika di Kepong di sini.

Kejadian tersebut dikongsikan menerusi dua rakaman video oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap makanan secara paksa kepada mangsa.

Pemilik Facebook itu berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman itu disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan itu.