Polis siasat kes tular jiran bergaduh

Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas memaparkan sekumpulan ndividu yang terlibat dalam insiden pergaduhan di kawasan perumahan terbabit. - CCTV
MUAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di Bukit Gambir, susulan video insiden tersebut yang tular di media sosial, terutamanya di platform TikTok.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas memaparkan sekumpulan ndividu yang terlibat dalam insiden pergaduhan di kawasan perumahan terbabit.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara jiran yang telah berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu kerana merusuh menggunakan senjata, yang boleh membawa hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.“Kesemua individu yang terlibat dalam kejadian ini telah berjaya dikenal pasti oleh pihak polis dan tindakan lanjut sedang diambil,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan rakaman video insiden tersebut atau membuat andaian yang boleh memburukkan keadaan.
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh menggugat keharmonian komuniti atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegas beliau.
Superintenden Roslan turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut agar tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, video tular berdurasi lebih satu minit itu memperlihatkan lima wanita terlibat dalam pergelutan, dipercayai akibat pertengkaran mulut yang mencetuskan kekecohan di kawasan perumahan tersebut.
Antara objek yang dilihat digunakan dalam pergaduhan itu termasuklah penyapu, penyodok sampah dan gayung, dipercayai diambil dari rumah masing-masing.
Penduduk setempat yang menyaksikan kejadian turut kelihatan cuba meleraikan pergaduhan, namun kekecohan berlarutan sebelum ia berjaya dikawal.
Insiden tersebut menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, dengan netizen menzahirkan kebimbangan terhadap isu toleransi kejiranan yang semakin meruncing.
Pihak polis memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami