MEKAH: Operasi pengurusan haji Malaysia di Tanah Suci kini menunjukkan peningkatan ketara dari segi kecekapan, kelancaran dan kawalan, hasil penambahbaikan berterusan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama erat pihak berkuasa Arab Saudi.
Pengurus Operasi Maktab 63 Tabung Haji, Shahidan Taib, berkata perubahan paling ketara dapat dilihat dalam aspek pendigitalan sistem operasi, yang menggantikan kaedah manual yang digunakan hampir tiga dekad lalu.
“Dulu banyak kerja kita buat secara manual... antaranya guna buku daftar dan laporan ditulis tangan. Sekarang, dengan sistem digital, penyimpanan rekod lebih kemas, akses data lebih cepat dan kerja jadi lebih efisien,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Shahidan, antara perubahan paling signifikan ialah urusan ketibaan jemaah di lapangan terbang Arab Saudi.
Jika sebelum ini jemaah terpaksa menunggu antara lima hingga enam jam untuk urusan imigresen di Jeddah atau Madinah, pelaksanaan Makkah Route kini mempercepatkan proses dengan ketara.
“Sekarang, urusan imigresen dibuat di KLIA lagi. Sampai di Jeddah, jemaah turun kapal terbang terus naik bas. Dalam 30 minit semuanya selesai,” jelasnya.
Katanya, perbezaan itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan jemaah malah mengurangkan tekanan fizikal dan emosi selepas perjalanan jauh.
Shahidan yang telah enam kali bertugas di Tanah Suci turut mengimbas pengalaman pahit pada musim haji 2003, ketika sistem pengangkutan shuttle (Taradudiya) gagal berfungsi dengan baik.
“Pergerakan jemaah waktu itu jadi tidak teratur. Petugas terpaksa buat keputusan secara ad hoc. Sangat meletihkan dan memang pengalaman yang tak dapat dilupakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sistem pengangkutan kini jauh lebih baik, hasil penambahbaikan berterusan oleh kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata langkah tegas Arab Saudi menghalang jemaah tanpa visa haji daripada memasuki kawasan Masyair turut membantu melancarkan operasi bas.
Antara langkah yang digunakan termasuk ‘sealed bus’, iaitu bas dikunci setelah jemaah menaiki kenderaan bagi mengelak penumpang luar menumpang.
“Ia memastikan hanya jemaah sah berada dalam bas dan ini sangat membantu memastikan perjalanan lancar,” katanya.
Mengulas kebajikan jemaah, Shahidan berkata aspek keselesaan bilik penginapan menjadi fokus utama pengurusan maktab, walaupun terdapat kekangan dari segi saiz dan susunan katil yang ditetapkan pihak berkuasa Saudi.
Antara aduan paling kerap diterima ialah berkaitan kepadatan katil dalam bilik, namun beliau menegaskan perkara itu adalah ketetapan rasmi pihak berkuasa dan hotel perlu mematuhinya.
“Bukan kehendak maktab atau hotel semata-mata. Ia berdasarkan kelulusan pihak berkuasa Saudi,” katanya.
Shahidan turut mengulangi larangan merokok dan memasak di dalam bilik penginapan, yang ditegaskan dalam sesi taklimat pengurusan kepada semua jemaah.
“Merokok bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi mengganggu keselesaan jemaah lain dan boleh menjejaskan ibadah,” katanya.
Beliau menegaskan disiplin jemaah amat penting bagi memastikan suasana harmoni dan ibadah dapat dilaksanakan dengan tenang.
Sebagai petugas, Shahidan mengakui masa untuk beribadah secara peribadi adalah terhad, namun menganggap tugas menyantuni jemaah sebagai satu ibadah besar.
“Membantu jemaah melaksanakan rukun Islam kelima itu sendiri adalah satu ibadah,” katanya.
Beliau menyifatkan peluang berkhidmat di Tanah Suci sebagai amanah besar dan penghormatan daripada Allah SWT.