SHAH ALAM: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang moderator kandungan aplikasi media sosial yang dipercayai menganiaya seekor anak monyet sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu daripada orang awam pada 11.25 pagi 20 Januari lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati haiwan malang itu telah dianiaya dengan cara dipukul, dicacatkan dan dibakar pada bahagian kaki serta tangan.

"Hasil siasatan membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Setia Alam dan turut menemukan beberapa perkakas dan peralatan serta sebuah telefon bimbit mengandungi gambar haiwan tersebut.

"Suspek telah dirakam percakapan dan tiada sebarang penahanan dibuat kerana kes itu tidak lazim ditangkap," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal juga berkata empat saksi dipanggil bagi membantu siasatan setakat ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Perundangan Negeri Selangor dan diedarkan ke Jabatan Peguam Negara untuk kajian pada 2 serta 22 Februari lepas.

"Arahan daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 Feb lepas adalah supaya siasatan diteruskan untuk mendapatkan laporan hasil analisis daripada pihak forensik bagi telefon bimbit milik suspek yang dirampas.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Anis Shafika Muhamad Adilah di talian 011-1095 1310.

-- BERNAMA