IPOH: Polis sedang menyiasat perarakan yang diiringi menggunakan khidmat helikopter dan kuda di sekitar pekan Ipoh dipercayai melibatkan kematian seorang pemilik kedai pakaian tradisional India tertua di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata satu laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sebarang kesalahan dan sama ada mereka mempunyai permit mengadakan perarakan.

"Perarakan tidak dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutamanya melibatkan kematian.

"Pihak polis juga akan membuat semakan sama ada mereka memperoleh kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk helikopter terbang rendah sambil membawa bunga dan sebagainya jadi kita akan siasat daripada pelbagai sudut," katanya pada sidang media Pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di sini malam tadi yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi.

Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan diterima berhubung kejadian yang turut tular di laman media sosial memaparkan rakaman video sebuah helikopter terbang rendah dan menaburkan bunga mengiringi perarakan itu.

Perarakan turut disertai beberapa individu yang dilihat menunggang kuda dikatakan dari rumah mendiang ke tempat pengebumian.

Sementara itu, mengenai operasi bersepadu yang dilancarkan, Mior Faridalathrash berkata ia berikutan aduan daripada orang ramai yang menyatakan kegusaran mereka berkenaan kejadian kes-kes jenayah di kawasan perumahan dan perniagaan.

"Pihak polis akan menyasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah pecah rumah, curi, ragut dan samun serta kawasan penagihan dadah bagi menghilangkan rasa takut masyarakat terhadap kejadian jenayah setempat," katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu antaranya melibatkan pegawai polis daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Ketenteraman Awam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik dengan dibantu agensi penguatkuasaan yang lain digerakkan pada hari tertentu seperti hujung minggu, hari cuti umum di lokasi-lokasi panas dan tumpuan orang ramai.

Katanya, sekatan jalan raya turut diadakan di laluan yang menjadi tumpuan ramai selain rondaan cegah jenayah serta pemeriksaan ke atas pusat hiburan, restoran dan sebagainya bagi memastikan pematuhan SOP.

-- BERNAMA