MALAYSIA
Polis siasat video palsu guna AI libatkan bekas KPN

Hussein berkata video berkenaan yang memaparkan individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara itu adalah tidak benar dan telah dimanipulasi menggunakan teknologi AI. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis membuka siasatan berhubung satu video palsu yang tular di platform TikTok membabitkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara dan wajah bekas Ketua Polis Negara ke-13, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, video berkenaan yang memaparkan individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara itu membuat kenyataan berhubung penerimaan bantuan kewangan daripada seorang individu bernama Datuk Abdul Ghani, adalah tidak benar dan telah dimanipulasi menggunakan teknologi AI.
“Hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Subang Jaya mendapati video itu telah dimuat naik secara palsu dan berniat untuk mengelirukan orang awam.
"Tan Sri Acryl Sani juga telah membuat laporan polis bagi menafikan sebarang kaitan dengan video tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan penyamaran, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.
Ia turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar rangkaian, yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
Pihak Polis Kontinjen Selangor turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan teknologi seperti AI untuk menipu, memfitnah atau mencemarkan nama baik individu lain.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula video tersebut dan sentiasa membuat semakan kesahihan sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan di media sosial,” tegas beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami