SIK: Dua lelaki Thailand ditahan bersama 42 ketul ganja mampat bernnilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Charuk Tenang, dekat Sik, pada Sabtu malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan Pendang kira-kira jam 10.20 malam.

"Ketika serbuan dua lelaki terbabit sedang berehat di dalam rumah. Polis kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui dua ketulan ganja mampat di dalam bekas tin yang di stor berhampiran rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 40 lagi ketulan ganja di dalam tong biru dengan berat keseluruhan dianggarkan 44 kilogram bernilai lebih RM100,000," katanya pada sidang media di IPD Sik, hari ini.

Mohd Taufik berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 61 dan 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan penoreh getah itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak setahun lalu.

Katanya, stor terbabit dipercayai dijadikan transit sebelum ganja itu diedarkan di Pendang dan Pulau Pinang.

"Berdasarkan rekod polis, pemandu lori terbabit mempunyai rekod lampau dadah dan pernah dihukum penjara selama 10 tahun dan 10 sebatan manakala penoreh getah itu tidak mempunyai rekod lampau.

"Kedua-dua suspek turut positif dadah jenis ganja. Bekalan ganja ini dipercayai diperolehi dari negara jiran dan kita masih menyiasat bagaimana bekalan itu dibawa masuk ke Malaysia," katanya.

Mohd Taufik berkata, kedua-dua suspek kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.