Pelajar tahfiz cedera dipukul rakan, polis buka kertas siasatan

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan berupa lebam serta bengkak di tangan kiri dan kanan akibat dipukul rakan-rakannya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes seorang pelajar tahfiz yang mendakwa dipukul oleh tiga rakan pelajar di institusi tahfiz yang sama, 18 Januari lalu.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami lebam dan bengkak pada kedua-dua tangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, laporan polis diterima pada Isnin lalu kira-kira jam 11.28 pagi.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 18 Januari lalu sekitar jam 12.30 tengah malam, namun punca sebenar insiden berkenaan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut beliau, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan berupa lebam serta bengkak di tangan kiri dan kanan akibat kejadian tersebut.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Haniffa bin Abd Rajk di talian 019-735 6544.
"Polis menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


