Polis telah menahan dua lelaki yang disyaki menyebabkan kematian Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 12, yang ditemui di Bukit Tinggi, Klang semalam.

Ketua polis Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusop berkata kedua-dua mereka adalah warga negeri Sabah yang masing-masing berusia 19 dan 24 tahun.

Dua suspek yang tidak bekerja itu ditahan jam 6 pagi hari ini di kawasan berhampiran tempat kejadian dan sebuah penyodok tanah yang dipercayai digunakan untuk cubaan menanam mangsa turut ditemui.

Kedua mereka direman selama tujuh hari untuk siasatan.

Nur Amyliana Shuhada dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

Mayatnya ditemui oleh seorang wanita berumur 19 tahun pada jam 10.30 malam di kawasan parkir kereta Melayu di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, Klang.

Mohamad berkata mayat tersebut ditemui terbaring dengan kesan pendarahan pada kemaluan mangsa.

"Tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh badan si mangsa namun pemeriksaan selanjutnya menemui kesan pendarahan pada kemaluan si mangsa," kata Mohamad.

Mangsa dipercayai telah keluar rumah bermain pada jam 12 tengah hari dan tidak pulang ke rumah sehingga waktu malam.

"Rumah mangsa terletak 200 meter dari tempat kejadian dan serentak dengan itu juga dua suspek lelaki berasal telah ditahan untuk bantu siasatan," beliau berkata.

Ibu mangsa, Acha Kusain, 31, berkata keluarganya telah pindah ke Klang selepas suaminya dipindahkan kerja dari Kuantan.

Acha berkata Nur Amyliana Shuhada, yang merupakan anak ketiga daripada tujuh orang, sangat rapat dengannya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.