BALIK PULAU: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita disyaki menjadi 'keldai akaun' kepada beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan empat mangsa mengalami kerugian lebih RM113,000 dalam serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket memperdaya mangsa bagi urusan mendapatkan komisen kerja dalam talian melibatkan kes di Bayan Lepas.

"Berdasarkan siasatan mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank suspek dengan jumlah keseluruhan RM65,964.92 dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud membabitkan mangsa di Bayan Baru.

Katanya dalam kes tersebut mangsa telah membuat enam transaksi secara dalam talian ke akaun bank lelaki terbabit berjumlah RM31,629.

Kamarul Rizal berkata bagi kes ketiga, seorang wanita berusia 54 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket 'phone scam' melalui aplikasi TikTok dengan mangsa membuat 13 transaksi dalam talian ke akaun bank berbeza keseluruhan berjumlah RM6,600.

"Kes keempat melibatkan penahanan lelaki berusia 39 tahun yang menjadi keldai kepada akaun sindiket urusan kerja sambilan dalam talian tidak wujud dengan mangsa membuat transaksi dalam talian ke akaun bank keseluruhan berjumlah RM9,269.70," katanya.

Menurutnya kesemua yang ditahan melibatkan sindiket penipuan berbeza dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA