SEREMBAN: Polis menahan dua individu disyaki memiliki dadah seberat kira-kira lima kilogram (5kg) di tempat letak kereta di Bandar Baharu Nilai di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki dan wanita tempatan berusia awal 40-an itu ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri pada 1.50 pagi.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemukan lima bungkusan dadah disyaki jenis syabu seberat 5,225 gram (g). Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek lelaki mempunyai empat rekod kesalahan lampau narkotik dan dua rekod lampau berkaitan jenayah manakala suspek wanita tiada rekod kesalahan lampau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 10,450 penagih dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan syabu dan sitaan adalah RM172,625.

Ahmad Dzaffir berkata dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kedua-dua suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

-- BERNAMA