KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas ketamin serta pil ekstasi bernilai RM379,600 daripada mereka dalam serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Cheras di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur Supt Mohd Shokri Abdullah berkata, kedua-duanya yang berusia 30 dan 38 tahun ditahan di dalam dua kereta berasingan pada 6.50 petang.

"Polis merampas dadah jenis ketamin seberat 6.1 kilogram dan pil ekstasi seberat 915 gram yang dipercayai bagi pasaran Lembah Klang daripada kedua-dua lelaki itu.

"Turut dirampas, seutas gelang tangan dan seutas rantai emas yang dianggar bernilai RM5,000 dan dua kereta itu yang dianggar bernilai RM35,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata, siasatan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan.

"Semakan mendapati lelaki berusia 30 tahun itu memiliki dua rekod jenayah manakala kedua-duanya negatif terhadap dadah," katanya.

Beliau berkata mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA