JITRA: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas 10.2 kilogram (kg) ganja bernilai RM33,000 di kawasan tempat letak kenderaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata warga Thai berumur 30-an dan lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada 4.45 petang.

"Semasa pemeriksaan fizikal, polis telah merampas satu beg galas daripada suspek warga Thailand dan pemeriksaan lanjut di dalam beg galas tersebut telah menjumpai 10 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

"Selain itu, kita turut menyita dua buah motosikal milik suspek dan hasil saringan air kencing kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan pekerja buruh itu didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai pusher atau pengedar dadah kecil-kecilan, manakala dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran dan transit di lokasi tersebut sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya, polis masih menyiasat modus operandi yang digunakan dan mengesan sama ada terdapat suspek lain terlibat.

"Kita juga percaya dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus di sempadan negara," katanya sambil menambah kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 25 Dis ini dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya.

-- BERNAMA