IPOH: Polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai dadah yang dianggarkan bernilai RM440,550 di Jalan Ban, Tanjung Piandang dekat Parit Buntar, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua lelaki berusia 19 hingga 41 tahun itu ditahan pada 10 pagi ketika menaiki sebuah kereta.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemukan dadah dipercayai ganja seberat 5,461.75 gram bernilai RM17,050.

"Susulan itu, polis melakukan satu lagi serbuan di lokasi sama kira-kira 3.30 petang, hari sama dan menjumpai satu beg galas berzip di dalamnya berisi dadah disyaki jenis pil WY seberat 6416.02 gram dan Methamphetamine seberat 2,084.75 gram bernilai RM423,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata kesemua lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata siasatan turut mendapati mereka aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Jun lepas.

"Dadah dirampas disyaki untuk edaran pasaran tempatan yang dianggarkan boleh digunakan 47,000 penagih," katanya menambah mereka direman hingga 7 Sept ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA