KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan polis bersama 2,000 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM20,000 di sebuah kedai makan di Jalan Cherang, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata tangkapan dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu pada kira-kira pukul 11.40 malam.

Beliau berkata suspek ditahan ketika sedang berjalan keluar dari sebuah kedai makan di lokasi terbabit sambil memegang suatu objek di tangan kanannya sebelum meletakkan objek tersebut dan cuba bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

"Pemeriksaan pada badan tidak menjumpai apa-apa benda salah. Pemeriksaan lanjut di tempat suspek meletakkan objek menemukan satu beg plastik hitam di dalamnya ada bungkusan berisi 10 paket plastik berisi pil yaba dengan setiapnya ada 200 biji pil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan air kencing suspek didapati negatif dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah Perodua Viva berserta serangkai anak kunci dan kes disiasat di bawah Seksen ADB (Perlucuthakkan Harta 1988).

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dengan rakan jenayah yang lain," katanya.

-- BERNAMA