Polis tahan lelaki disyaki bakar rumah keluarga sendiri di Pengkalan Hulu

Zulkepli berkata suspek berusia 25 tahun bertindak membakar kediaman itu, yang menyebabkan kerosakan sehingga 65 peratus. - Gambar JBPM
IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai membakar rumah milik keluarganya di Kampung Seberang Kuak Hulu, Pengkalan Hulu awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Supt Zulkepli Ibrahim berkata suspek berusia 25 tahun bertindak membakar kediaman itu, yang menyebabkan kerosakan sehingga 65 peratus.
Beliau berkata bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu menerima laporan berkaitan kebakaran sebuah rumah kediaman di lokasi itu pada 1.08 pagi.
"Siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai hasil perbuatan khianat anak pemilik rumah sendiri dipercayai berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan di sini.
Zulkepli berkata seorang mangsa dipercayai ibu suspek yang cedera dalam kejadian itu dibawa ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat melecur serta memerlukan pembedahan segera.
Beliau berkata 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pengkalan Hulu dibantu Balai Bomba Daerah Baling, Kedah berjaya memadam kebakaran pada 2.30 pagi.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis Cawangan Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pengkalan Hulu dibantu anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) kemudian berjaya menahan suspek pada 3.25 pagi hari sama.
"Permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dipohon di Mahkamah Majistret Gerik dan lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga 1 Nov ini," katanya.
Zulkepli berkata ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah methaphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


