NATIONAL
Polis tahan lima lelaki, rampas dadah lebih RM155,000

Hamzah berkata siasatan dan risikan mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas. - Gambar fail/Bernama
BUKIT MERTAJAM: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima lelaki di lokasi berasingan serta merampas syabu serta heroin dianggar bernilai RM155,010 semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemua individu berusia 33 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi terancang bermula 1.30 tengah hari hingga 2.45 petang dan polis turut menyita pelbagai barangan termasuk tujuh kenderaan daripada mereka, kesemuanya bernilai RM860,350.
"Dalam serbuan pertama di tepi jalan di Permatang Pauh, polis menahan dua lelaki dan merampas heroin seberat 251 gram (g) dan 106 g syabu.
"Dipandu arah mereka, polis kemudian merampas 21 peket heroin seberat 9.48 kilogram, satu peket plastik berwarna kehijauan bertulis "Chinese Pin Wei" mengandungi syabu (1,030 g) serta empat peket syabu seberat 409 g di dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan, tidak jauh dari lokasi pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata hasil tindakan susulan, polis menahan tiga lagi lelaki di kawasan parkir di sebuah pasar raya di Seberang Jaya dan Bukit Tambun.
Hamzah berkata siasatan dan risikan mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas.
Beliau berkata bekalan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dibungkus dalam kuantiti kecil dan dijual di pasaran tempatan.
Siasatan awal juga mendapati seorang daripada lelaki ditahan yang berusia 33 tahun merupakan ketua sindiket terbabit dan merupakan seorang peniaga.
Tiga yang lain bekerja sebagai pengawal keselamatan, penjaga kandang kambing dan pemandu e-hailing manakala seorang lagi tidak bekerja.
"Pelbagai barangan disita antaranya barangan kemas, jam berjenama mewah serta tujuh kenderaan seperti Toyota Vellfire, Honda CR-V, Mercedes-Benz serta Mazda," katanya.
Beliau berkata dua daripada mereka didapati positif terhadap dadah dan tiga daripadanya juga memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Kesemuanya direman hingga 24 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami