MALAYSIA
Polis tahan pasangan suami isteri dera kanak-kanak

Mohd Iqbal berkata kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, dengan pegawai perubatan mengesahkan mengalami kecederaan pada bahagian muka. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sehingga mengakibatkan kecederaan di Seksyen 16 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa sendiri pada 12 tengah malam 15 Ogos lepas.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah suspek yang juga pengasuh pada hari sebelumnya (14 Ogos) kira-kira 10 pagi, namun pada malam hari yang sama, mangsa dihantar semula ke rumahnya dengan mempunyai kesan lebam pada muka.
"Ibu kanak-kanak itu bertanyakan kepada pengasuh (isteri) punca anaknya mempunyai kesan lebam pada muka. Pada mulanya, pengasuh memberitahu anak pengasuh bergaduh dengan kanak-kanak itu."Namun ibu kanak-kanak itu tidak mempercayai penerangan yang diberikan dan mahu membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, dengan pegawai perubatan mengesahkan mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Beliau berkata susulan itu polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri masing-masing berusia 40 dan 37 tahun di sebuah pangsapuri di Seksyen 16 pada 11.22 malam semalam.
"Pasangan suami isteri itu direman selama tiga hari bermula hari ini," katanya.
Beliau dalam kenyataan sama memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119 560.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami