KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita pada Khamis selepas disyaki terbabit dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, di Jalan Ampang Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata wanita berusia 39 tahun yang juga pengasuh kanak-kanak itu, ditahan kira-kira 10 malam di rumahnya oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada 17 Dis lepas, apabila menyedari terdapat kesan luka pada badan anaknya ketika mengambil kanak-kanak itu di rumah pengasuh.

"Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu menyewa bilik di rumah wanita terbabit dan mengupahnya menjaga mangsa dengan bayaran RM800 sebulan, ketika dia keluar bekerja.

Beliau berkata semakan mendapati wanita terbabit tiada rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari sehingga 11 Jan, bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA