IPOH: Polis menahan seorang lelaki pada Jumaat, ekoran penemuan rangka, dipercayai bahagian tubuh seorang wanita di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping, pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Anuar Othman berkata, lelaki berusia 34 tahun itu yang juga orang pengawasan polis (OPP) dipercayai teman lelaki mangsa.

Menurutnya, penemuan rangka wanita itu, yang dipercayai telah mati kira-kira dua minggu adalah hasil siasatan lanjut di kawasan berkenaan selepas polis menerima laporan seorang lelaki mengenai penemuan bahagian kaki manusia di kawasan berkenaan dalam keadaan tidak sempurna dan mereput.

Katanya, hasil siasatan lanjut oleh pasukan forensik, pihak polis telah menjumpai bungkusan kain yang ditanam di kawasan berhampiran.

“Di dalam bungkusan kain tersebut terdapat rangka tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari kepala hingga ke pinggang dalam keadaan mereput sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Anuar berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Khamis bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti punca kematian.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis telah menahan suspek yang didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Katanya, hasil soal siasat, suspek mengaku telah bergaduh dengan teman wanitanya yang berusia 31 tahun itu ketika berada di sebuah rumah sebelum memukul mangsa hingga mati.

“Suspek telah membawa pihak polis ke lokasi di mana mangsa telah dibunuh dan ditanam,” ujarnya.

Menurut Anuar, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 6 November untuk tujuan siasatan.

“Kertas siasatan yang telah lengkap akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi arahan selanjutnya,” ujarnya.