KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki, seorang wanita, dan merampas 52 kilogram (kg) dadah jenis ganja dalam dua serbuan sekitar ibu negara dan Johor, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata serbuan yang bermula 2 petang hingga 11.30 malam itu dijayakan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan JSJN IPK Johor.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di Jalan Cemur sekitar sini, polia menahan dua lelaki selepas menemukan 52 kg dadah jenis ganja dalam sebuah kereta Bezza, dan susulan penahanan itu seorang wanita yang dipercayai dalang kegiatan mengedar dadah ditahan di sebuah rumah di Nusajaya, Johor.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap di Kuala Lumpur bertindak sebagai penghantar manakala suspek wanita di Johor adalah perancang utama. Pihak JSJN IPK Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan bagi mengesan punca bekalan dadah serta saki baki ahli sindiket," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya semua suspek yang berumur 30 hingga 45 tahun direman hingga 9 Jun ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan siasatan mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai 19 rekod berkaitan dadah serta jenayah.

Mohd Shuhaily berkata turut dirampas ialah dua kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai melebihi RM235,000.

"Sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu yang berasal dari selatan tanah air dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat penghantaran dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan setelah mendapat pesanan.

-- BERNAMA