GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tiga suspek termasuk sepasang suami isteri serta rampasan dadah bernilai RM61,847.50 dalam siri serbuan di Air Itam, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 40 tahun, selain turut merampas empat ketul ganja dan pelbagai peralatan untuk membungkus dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah flat pada 9 malam.

Beliau berkata berikutan penahanan kedua-dua suspek itu, polis menemukan 18 bungkusan ganja yang disimpan di dalam sebuah Proton Waja yang diparkir di kawasan rumah itu.

"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan Air Itam dan menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun, yang merupakan isteri kepada lelaki berumur 38 tahun berkenaan, serta merampas sejumlah ganja dan syabu di situ," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Soffian berkata kesemua dadah yang dirampas terdiri daripada ganja sebanyak 22,279 gram (g) bernilai RM55,697.50 dan syabu seberat 61.50g (RM6,150), dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata siasatan mendapati rumah pertama yang diserbu itu, disewa oleh abang kepada lelaki berusia 38 tahun tersebut dan mereka menjadikan premis itu sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah untuk dijual kepada pembeli di sekitar negeri ini.

Katanya, polis kini sedang mengesan abang kepada suspek berusia 38 tahun itu kerana dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

"Suspek berusia 38 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai empat rekod (jenayah) lampau, manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod (jenayah) lampau, kedua-dua mereka positif dadah," katanya.

Ketiga-tiga individu yang ditahan kini direman sehingga 11 Feb bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, susulan penahanan mereka, polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dan dua motosikal jenis KTM Duke 200 serta Yamaha LC135 yang kesemuanya bernilai RM151,047.

-- BERNAMA