Polis Terengganu berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik kediaman keluarga dengan penemuan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.71 juta.

Ia susulan penahanan tiga lelaki dan seorang suri rumah dalam dua serbuan berasingan di Kemaman pada Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40an itu diberkas sekitar 5.30 pagi hingga 1. 45 petang.

Katanya ketika serbuan pertama dilakukan seorang suspek yang berusia 38 tahun turut bertindak mengacukan pistol kepada pihak polis.

Manakala dalam serbuan kedua pihaknya telah menahan seorang wanita dan merampas dadah termasuk syabu serta heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM250,000.

“Dalam serbuan pertama ini telah menangkap tiga lelaki salah seorang lelaki ini semasa serbuan dibuat telah mengacukan sepucuk pistol seperti mana pistol pada pasukan serbuan.

“Apabila dicabar oleh pihak polis, beliau telah membaling pistol itu dan cuba melarikan diri dan mereka berjaya menangkap lelaki ini dan pistol yang digunakan bukan pistol original tetapi pistol palsu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Roslee lagi, menerusi serbuan itu pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin dan pil kuda serta wang tunai lebih RM63,000.

Beliau berkata hasil siasatan pihaknya percaya kesemua suspek aktif dalam aktiviti pengedaran dadah itu kira-kira enam bulan lalu.

Katanya pihak polis juga percaya dadah berkenaan untuk diedarkan di sekitar Terengganu dan Pahang.

Sementara itu Roslee juga tidak menolak kemungkinan tangkapan itu mempunyai rangkaian dengan kes penahanan pemandu lori dan kelindannya di Hulu Terengganu pada April lalu.

Jelasnya hasil ujian saringan air kencing kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.