Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Assisten Komisioner Soffian Santong berkata dua lelaki yang juga saksi kejadian memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap terhempas kira-kira jam 2 petang dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Susulan laporan itu, Soffian berkata pihak polis bersama beberapa agensi lain telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan laut sebagaimana yang didakwa saksi.

Bagaimanapun sehingga jam 6.30 petang hari ini, pasukan mencari dan menyelamat tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

"Berikutan itu, pihak kita terpaksa menghentikan operasi mencari kerana cuaca semakin gelap.

"Operasi berkemungkinan akan disambung esok sekiranya mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Soffian berkata, setakat ini, pihak polis belum menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau juga meminta mana mana individu yang kehilangan ahli keluarga khasnya juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas dia dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah.

Menurut saksi itu, kejadian berlaku sangat pantas dan mereka melihat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai mula memenuhi kawasan pantai untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa termasuk Angkatan Pertahanan Awam.