KUANTAN: Polis menahan dua anggota kumpulan 'Geng Vennu' di Johor Bahru pada 4 Mac lepas, yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah masuk premis perniagaan di Pahang awal bulan ini.

Ketua Polis Dearah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kedua-dua suspek berumur 35 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sekitar 10.30 malam.

Beliau berkata pada 2 Mac lepas polis menerima laporan daripada seorang peniaga menjual tayar yang mengadu 100 tayar lori bernilai RM100,000 miliknya hilang selepas premis perniagaannya di sini dipecah masuk.

"Bertindak atas maklumat polis berjaya memburu suspek, dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pembeli barang dicuri di Kulai, Johor serta merampas 31 tayar lori pelbagai saiz," katanya pada sidang media di IPD Kuantan di sini, hari ini.

Katanya siasatan turut mendapati sebahagian tayar yang dicuri telah dijual dengan harga rendah daripada pasaran dan suspek dipercayai telah menerima pulangan yang dianggarkan RM40,000.

Wan Mohd Zahari berkata siasatan lanjut mendapati suspek juga terlibat dalam kegiatan jenayah di Pekan, Maran, Jerantut dan Raub melibatkan kes pecah masuk premis perniagaan.

Katanya suspek utama berusia 35 tahun itu mempunyai 33 rekod kesalahan jenayah, antaranya berkaitan pecah masuk rumah manakala rakannya itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah serta narkotik, dan suspek ketiga yang disyaki membeli barang curi turut mempunyai tiga rekod lampau.

Beliau berkata dengan tumpasnya geng berkenaan katanya polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah masuk premis perniagaan dan gudang iaitu empat di Kuantan masing-masing satu di Pekan, Maran, Jerantut dan Raub.

Semua suspek kini direman di Maran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA