NATIONAL
Polis tumpas sindiket edar dadah guna peket minuman segera

M Kumar (dua, kanan) menunjukkan dadah bernilai hampir RM3.2 juta dibungkus menggunakan peket minuman segera yang dirampas. -Bernama
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peket minuman segera selepas menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM3.2 juta dalam satu operasi khas pada 6 dan 7 Feb lepas.
Ringkasan AI
- Polis Johor menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM3.2 juta dalam operasi khas pada 6 dan 7 Februari. Dadah yang dirampas termasuk serbuk ekstasi, ketamin, syabu, ganja, pil ekstasi, dan pil erimin 5.
- Sindiket ini menggunakan peket minuman segera berperisa kopi dan coklat untuk mengaburi pihak berkuasa. Mereka menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah.
- Polis turut menyita tiga buah kereta, sebuah motosikal, jam tangan, barang kemas, wang tunai, dan Dolar Singapura. Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Dadah yang dirampas melibatkan 15 kilogram (kg) serbuk ekstasi, satu kg ketamin, 1.35 kg syabu, 294 gram ganja, 7,800 biji pil ekstasi dan 6,250 bijil pil erimin 5.
"Modus operandi sindiket beroperasi sejak Januari lepas ini adalah menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan. Dipercayai bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus dan diedar untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata sindiket berkenaan menggunakan peket minuman segera yang antaranya berperisa kopi dan coklat sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa serta menjualnya sehingga RM250 bagi sepeket dadah.
Justeru, beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain dan kemungkinan sindiket itu turut mempunyai dalang di luar negara.
Beliau menyatakan tiga buah kereta, sebuah motosikal, 14 utas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM65,670, wang tunai RM1,491 dan Dolar Singapura SGD117 turut disita dalam operasi itu.
Sementara itu, beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tambah beliau, kesemua lelaki itu direman sehingga 17 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami