MALAYSIA
Polis tumpas sindiket edar syabu RM13.6 juta di Lembah Klang

Hussein berkata operasi pada 18 Ogos lalu membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia 33 hingga 64 tahun dalam empat serbuan berasingan sekitar Puchong dan Sri Petaling. - Foto Astro AWANI.
SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan rampasan 425.25 kilogram syabu bernilai RM13.6 juta dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang.
Ringkasan AI
- Lima lelaki ditahan dalam empat serbuan sekitar Puchong dan Sri Petaling, dengan rampasan 425.25 kg syabu bernilai RM13.6 juta yang mampu menjejaskan lebih 2.1 juta individu.
- Dadah diseludup dari negara jiran dan dijangka diedarkan ke Sabah, Sarawak serta Kalimantan. Rumah teres dijadikan stor sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
- Hukuman termasuk penjara seumur hidup atau mati mandatori. Polis turut menyita aset bernilai RM133,350 dan sedang mengesan anggota sindiket lain dalam hierarki lebih tinggi.
Serbuan kedua di Lebuhraya Damansara-Puchong menahan seorang lagi lelaki dan melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong serta berjaya menemui 37.21 gram syabu.
Dalam serbuan ketiga di sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya, polis menahan dua suspek lain dan melakukan pemeriksaan lanjut di rumah teres di mana polis menemui 321.02 kilogram syabu.
Serbuan terakhir dijalankan di kawasan parkir LRT Sri Petaling, di mana seorang lelaki dipercayai koordinator sindiket diberkas.
Menurut Hussein, sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan menjadikan rumah teres sebagai stor sebelum mengedarkan dadah ke pasaran tempatan di mana rampasan itu dianggarkan mampu merosakkan lebih 2.1 juta individu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein turut mendedahkan kumpulan ini beroperasi di utara tanah air dan Lembah Klang, dengan bekalan dadah dipercayai diseludup dari negara jiran di utara Malaysia.
Dadah itu juga dijangka dipasarkan ke Sabah, Sarawak dan berkemungkinan diseludup ke Kalimantan, Indonesia.
“Jadi bulan tiga tahun ini kita telah tumpaskan separuh daripada mereka, ini adalah sebahagian dari kumpulan besar itu..dengan tumpasnya sindiket ini kita percaya kita telah tumpaskan satu sindiket yang beroperasi dalam kuantiti yang besar,” katanya.
Beliau menambah, tiga daripada lima suspek pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala seorang daripadanya memiliki 13 rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.
Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 19 Ogos sehingga 25 Ogos.
Polis turut menyita aset bernilai RM133,350 termasuk dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas dan wang tunai.
Secara keseluruhan, nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM13.74 juta.
Hussein mengesahkan sindiket ini mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa kerana semua dadah diseludup dari luar negara.
Pihak polis kini mengesan individu lain yang dipercayai berada dalam hierarki lebih tinggi kumpulan itu.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada PDRM melalui hotline JSJN di 012-208 7222.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami