GEORGE TOWN: Empat rakyat tempatan termasuk pasangan suami isteri yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah, ditahan bersama 21 kilogram (kg) ganja bernilai RM66,000 dalam tiga serbuan di sekitar Georgetown, antara 10 malam semalam hingga 11 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata serbuan dilakukan JSJN Pulau Pinang menerusi Operasi Terancang, hasil maklumat dan risikan berkaitan kegiatan mengedar dadah di negeri ini.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pihaknya telah menahan dua lelaki yang merupakan runner di tempat letak kereta di kawasan Georgetown, serta merampas satu kotak mengandungi lima ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 5,000 gram (g) bernilai RM17,000.

"Soal siasat terhadap kedua suspek berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga dalang sindiket di kawasan Tanjung Tokong.

"Berdasarkan pandu arah oleh suspek, pihak polis kemudian menyerbu ke sebuah unit kondominium yang disewa suspek di Tanjung Tokong dan telah menahan suspek keempat, seorang wanita yang juga isteri kepada dalang sindiket itu.

"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit kemudian menemukan satu kotak plastik berwarna biru mengandungi 14 ketulan mampat daun ganja seberat 12,000g yang dianggarkan bernilai RM37,000 dan sebuah kotak berwarna coklat mengandungi 14 bungkusan ganja seberat 4,000g bernilai RM12,000, dengan nilai rampasan keseluruhan ialah RM66,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Turut dirampas di unit kondominium itu ialah pucuk ganja atau dikenali sebagai jantung ganja, dan dikatakan mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Selain itu, Khaw polis turut menyita sebuah kereta dan motosikal digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan tersebut dengan nilai sitaan sebanyak RM12,000.

Beliau berkata harga bagi pucuk ganja itu juga lebih mahal berbanding ganja sedia ada, dengan harga pasaran boleh mencecah RM5,000 sekilogram, manakala RM3,100 sekilogram bagi ganja biasa.

"Hasil risikan, sindiket sudah beroperasi sejak September tahun lepas dan mengedarkan dadah tersebut untuk pasaran tempatan. Jumlah rampasan ini boleh digunakan seramai 50,000 penagih," katanya.

Khaw berkata saringan air kencing yang dijalankan mendapati, suspek pertama positif dadah serta mempunyai rekod tiga rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun itu kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA