MALAYSIA
Polis tumpas sindiket penipuan nombor ramalan, tujuh individu ditahan

Datuk Rusdi Mohd Isa mendedahkan angka membimbangkan berkaitan kes penipuan nombor ramalan di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada Rabu. -Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan nombor ramalan menerusi penahanan tujuh individu pada 4 Julai lalu dalam enam serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket itu dipercayai melibatkan sekurang-kurangnya 15 kes di beberapa negeri, membabitkan kerugian berjumlah RM199,243.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang disyaki suspek utama sindiket ini, selain dua lagi warga tempatan iaitu pemilik dan jurujual kedai emas.
“Mereka semua berusia antara 27 hingga 55 tahun,” ujar Rusdi dalam satu sidang media di Menara KPJ, di sini pada Rabu.Antara kes terbaharu sindiket itu merupakan pesara wanita berusia 63 tahun yang kerugian wang tunai dan barang kemas di Setapak, Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu.
“Mangsa didatangi seorang wanita warga Indonesia yang meminta bantuan menunjukkan jalan ke kedai nombor ramalan, sebelum dipelawa menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki senegara.
“Sepanjang berada dalam kenderaan yang turut dinaiki empat suspek lain, mangsa dijanjikan RM15,000 kononnya daripada ‘wang kemenangan’.
“Mangsa akhirnya menyerahkan kad ATM dan barang kemas miliknya sebelum diturunkan di satu lokasi,” jelasnya.
Menurut Rusdi, suspek kemudiannya mengeluarkan wang sebanyak RM500 daripada akaun mangsa menggunakan kad ATM tersebut dan tidak kembali bertemu suspek seperti yang dijanjikan.
"Polis turut merampas enam telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Aruz, dua nombor plat palsu, lima beg pelbagai jenama, wang tunai RM1,330 serta beberapa utas rantai, cincin dan anting-anting," kata Rusdi.
Empat suspek utama didakwa di Mahkamah pada 22 Julai lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Tiga lagi suspek warga Indonesia turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama setahun. Salah seorang daripada mereka turut dikenakan satu kali sebatan,” katanya.
Statistik mencatatkan peningkatan kes penipuan nombor ramalan untuk tahun 2025 setakat 20 Julai, iaitu pada 43 kes, dengan jumlah kerugian bernilai RM866,000, berbanding 22 kes tahun sebelumnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami